Sabtu, 16 Oktober 2010

Perjuangan Sebenar Sudah Tiba

Assalamualaikum,
Setelah hampir 10 bulan bergelumang dengan berbagai pahit getir pengajian, kini tibalah saat kemuncak bagi pembelajaran tahun ini........ Masing-masing pelajar berdebar-debar untuk menyahut apa jua soalan yang bakal muncul di kertas soalan. Ayuh perwira sekalian, jangan undur lagi. Hunuskan pedangmu, paculah kudamu, maralah ke hadapan, patuhilah arahan dan tunjuk ajar para 'panglima'mu di dalam tempoh latihan dulu. Ingatlah segala sepak terajang yang telah kamu pelajari dulu. Terjemahkan segalanya di lembaran kertas jawapanmu. Berjuang dan terus berjuang, sampai ke titis tinta dan keringat yang terakhir.

Semoga perjuangan kalian semua diredai Allah dan dilimpahiNya dengan kejayaan yang gilang gemilang.

Maahad Gemilang 2010

Khamis, 26 Ogos 2010

PEPERIKSAAN PERCUBAAN DAN TARIKH PEPERIKSAAN SEBENAR


Assalamualaikum.
Selamat menempuh peperiksaan diucapkan kepada wira-wira harapan MML sekalian. Ramadan bulan ujian dan percubaan. Kebetulan di bulan ini juga kalian semua menghadapi peperiksaan percubaan bagi semua tahap peperiksaan. Hadapilah dengan penuh tabah, jujur dan penuh kesungguhan. Jadikan ia sebagai titik penilaian sejauh mana persediaan yang telah anda buat selama ini untuk menghadapi peperiksaan sebenar nanti.

Sekian. Wassalam

Sabtu, 14 Ogos 2010

Khamis, 18 Mac 2010

KERATAN AKHBAR LAPORAN KEJAYAAN SPM DAN STAM 2009




Sila lawati :
http://kentaizat.wordpress.com/2010/03/13/spm-2010/
Gambar-gambar hari pengumuman keputusan SPM dan STAM di MML.

Sabtu, 13 Mac 2010

MML TERUS GEMILANG

Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Keputusan SPM dan STAM 2009 yang baru diumumkan membuktikan Mml terus gemilang. Hampir mendekati saingan rapatnya MMP. Namun insyaa'Allah 2010 MML akan mengatasi MMP. Standby MMP. You'll see it.
Meskipun tidak mendapat liputan di dada akhbar perdana tapi ternyata MML tetap GEMILANG. Ini terbukti bila mana AHMAD HARITH BIN ZABIDI AZHAR dari MML muncul sebagai PELAJAR TERBAIK SPM YIK (ALIRAN SAINS)

Ahmad Harith bin Zabidi Azhar dinobatkan pelajar terbaik mendapat 15A iaitu 12A+ 2A 1A, meskipun sibuk dengan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pelajar sekolah , Pemain Badminton Sekolah dan ahli Kumpulan Nasyid. Ahmad Harith menjadi pelajar contoh kepada Maahad Muhammadi Lelaki.

Maahad Muhammadi Lelaki mengekalkan rekod 100 % dalam keputusan peperiksaan SPM dan mencatat sejarah apabila seorang pelajar mendapat 15A , seorang 14A,(Ahmad bin Abdul Rahim) seorang 13A( Ahmad bin Abd Aziz) dan 6 orang mendapat 12A, 10 orang mendapat 11A, 14 orang mendapat 10A , 20 orang mendapat 9A serta 22 orang mendapat 8A. Secara keseluruhannya 52 orang mendapat 9A ke atas iaitu 14.48 % berbanding 22 orang iaitu 8.73 % tahun 2008. Calon yang mendapat semua A dalam semua subjek diambil seramai 11 0rang berbanding 2 orang tahun 2008 .

MUHAMMAD THORIQ RASID pelajar terbaik STAM mendapat 10 Mumtaz

Keputusan peperiksaan STAM peratus 93.3 berbanding 90 % tahun 2008. 23 orang mendapat pangkat Mumtaz, 21 orang pangkat Jayyid Jiddan ,24 orang pangkat Jayyid. .
Menurut Pengetua kejayaan Maahad Muhammadi Lelaki kerana kerjasama yang diberikan oleh guru –guru, ibu bapa dan pelajar dalam menjayakan projek Maahad Gemilang.

Mudah-mudahan kejayaan 2009 menjadi pendorong kepada wira-wira seterusnya yang sedang 'mengasah parang' untuk menghadapi perang 2010.

TAHNIAH WIRA-WIRA MML 2009. KEJAYAAN ANDA INSPIRASI KAMI WARGA MML 2010.

Sabtu, 6 Februari 2010

MML Januari 2010

Selari dengan misi MML untuk memperkembang potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi akliah (intelek), akidah (rohani), emosi dan jasmani berdasarkan ajaran Islam, MML membuka tirai Muharram/Januari dengan beberapa acara besar sesuai dengan misi tersebut.
Acara rutin harian Pengajaran dan Pembelajaran diselang-selikan dengan beberapa acara kerohanian seperti solat hajat di awal tahun, solat zohor berjemaah di masjid Al-Islah dan ceramah bulanan yang dimulakan dengan ceramah Awal Muharram dan diikuti ceramah bulan Safar.
Dalam usaha melahirkan sifat cintakan kebersihan dan memupuk semangat kerjasama di kalangan warga MML, pihak sekolah melalui Unit Kebersihan dan Keceriaan telah menganjurkan acara Gotong-royong Perdana Peringkat MML. Acara yang diadakan pada 21 Januari tersebut melibatkan semua warga MML merangkumi semua kawasan dan bangunan sekolah. Pengetua dan para Penolong Kanan turut 'turun padang' membersih dan menceriakan persekitaran MML. Semoga sikap prihatin terhadap kebersihan tidak hanya terserlah pada hari tersebut, bahkan terus menjadi 'darah daging' dalam diri warga MML.
Satu lagi acara besar bulan Januari adalah kehadiran Yang Dihormat Ketua Polis Kelantan ke Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pimpinan Pelajar pada 25 Januari. Kehadiran beliau mencatat sejarah MML, di mana buat julung kalinya MML menerima kehadiran seorang Ketua Polis Negeri. Ucapan beliau yang mantap dan diselang-selikan dengan ungkapan bahasa Arab serta petikan ayat al-Qur'an dan Hadith menarik perhatian pendengar. Hal ini tidak menghairankan kerana beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Pengajian Islam UKM. Adalah diharapkan kehadiran beliau ini menjadi motivasi kepada para pelajar untuk menuntut ilmu agama setinggi mungkin kerana terbukti lulusan agama mampu menceburi apa saja bidang kerjaya.
Semoga segala acara yang dianjurkan oleh pihak MML mendatangkan manfaat kepada semua pihak khususnya para pelajar yang dikasihi.Selamat belajar.
Wassalam.

MAAHAD GEMILANG 1431H/2010

Assalamualaikum
Untuk kesekian kalinya kita bertemu lagi, kali ini di tahun 1431H/2010. Semoga ketibaan musim persekolahan yang baru ini membawa sinar yang semakin gemilang kepada MML.
Seiring dengan ketibaan tahun baru ini MML megalami perubahan besar khususnya pada tonggak pentadbiran. Pengetua sebelum ini Tn Hj Zainuddin bin Che Ismail bertukar ke Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan dan digantikan oleh Tn Hj Azhar bin Salleh, mantan Penolong Pengarah YIK. Penolong Kanan HEM Tn Hj Abd Aziz bin Abdullah berpindah ke Maahad Pengajian Islam dengan digantikan oleh Tn Hj Zulkipli bin Mat Yusuf yang sebelum ini merupakan Penolong Kanan HEM Maahad Pengajian Islam. Di samping pertukaran yang berlaku, MML menerima kedatangan tonggak baru Kokurikulum, iaitu Tn Hj Junaidi bin Abdullah sebagai Penolong Kanan Kokurikulum; jawatan baru yang diperkenalkan di MML dan MMP.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada bekas Pengetua dan Penolong Kanan HEM yang bertugas di tempat baru. Jasa kalian tetap dikenang oleh warga MML. Pidato semangat dan penuh berbisa mantan Pengetua sentiasa dirindui warga MML.
Kepada Pengetua dan kedua-dua Penolong Kanan yang baru, warga MML mengucapkan AHLAN WA SAHLAN ke bumi MML. Dengan gembelingan tenaga baru dan yang sedia ada, didoakan semoga MML berjaya dipacu terus ke mercu yang lebih gemilang.
Hingga bertemu lagi. Wassalam.