Sabtu, 6 Februari 2010

MML Januari 2010

Selari dengan misi MML untuk memperkembang potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi akliah (intelek), akidah (rohani), emosi dan jasmani berdasarkan ajaran Islam, MML membuka tirai Muharram/Januari dengan beberapa acara besar sesuai dengan misi tersebut.
Acara rutin harian Pengajaran dan Pembelajaran diselang-selikan dengan beberapa acara kerohanian seperti solat hajat di awal tahun, solat zohor berjemaah di masjid Al-Islah dan ceramah bulanan yang dimulakan dengan ceramah Awal Muharram dan diikuti ceramah bulan Safar.
Dalam usaha melahirkan sifat cintakan kebersihan dan memupuk semangat kerjasama di kalangan warga MML, pihak sekolah melalui Unit Kebersihan dan Keceriaan telah menganjurkan acara Gotong-royong Perdana Peringkat MML. Acara yang diadakan pada 21 Januari tersebut melibatkan semua warga MML merangkumi semua kawasan dan bangunan sekolah. Pengetua dan para Penolong Kanan turut 'turun padang' membersih dan menceriakan persekitaran MML. Semoga sikap prihatin terhadap kebersihan tidak hanya terserlah pada hari tersebut, bahkan terus menjadi 'darah daging' dalam diri warga MML.
Satu lagi acara besar bulan Januari adalah kehadiran Yang Dihormat Ketua Polis Kelantan ke Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pimpinan Pelajar pada 25 Januari. Kehadiran beliau mencatat sejarah MML, di mana buat julung kalinya MML menerima kehadiran seorang Ketua Polis Negeri. Ucapan beliau yang mantap dan diselang-selikan dengan ungkapan bahasa Arab serta petikan ayat al-Qur'an dan Hadith menarik perhatian pendengar. Hal ini tidak menghairankan kerana beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Pengajian Islam UKM. Adalah diharapkan kehadiran beliau ini menjadi motivasi kepada para pelajar untuk menuntut ilmu agama setinggi mungkin kerana terbukti lulusan agama mampu menceburi apa saja bidang kerjaya.
Semoga segala acara yang dianjurkan oleh pihak MML mendatangkan manfaat kepada semua pihak khususnya para pelajar yang dikasihi.Selamat belajar.
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan