Sabtu, 6 Februari 2010

MML Januari 2010

Selari dengan misi MML untuk memperkembang potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi akliah (intelek), akidah (rohani), emosi dan jasmani berdasarkan ajaran Islam, MML membuka tirai Muharram/Januari dengan beberapa acara besar sesuai dengan misi tersebut.
Acara rutin harian Pengajaran dan Pembelajaran diselang-selikan dengan beberapa acara kerohanian seperti solat hajat di awal tahun, solat zohor berjemaah di masjid Al-Islah dan ceramah bulanan yang dimulakan dengan ceramah Awal Muharram dan diikuti ceramah bulan Safar.
Dalam usaha melahirkan sifat cintakan kebersihan dan memupuk semangat kerjasama di kalangan warga MML, pihak sekolah melalui Unit Kebersihan dan Keceriaan telah menganjurkan acara Gotong-royong Perdana Peringkat MML. Acara yang diadakan pada 21 Januari tersebut melibatkan semua warga MML merangkumi semua kawasan dan bangunan sekolah. Pengetua dan para Penolong Kanan turut 'turun padang' membersih dan menceriakan persekitaran MML. Semoga sikap prihatin terhadap kebersihan tidak hanya terserlah pada hari tersebut, bahkan terus menjadi 'darah daging' dalam diri warga MML.
Satu lagi acara besar bulan Januari adalah kehadiran Yang Dihormat Ketua Polis Kelantan ke Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pimpinan Pelajar pada 25 Januari. Kehadiran beliau mencatat sejarah MML, di mana buat julung kalinya MML menerima kehadiran seorang Ketua Polis Negeri. Ucapan beliau yang mantap dan diselang-selikan dengan ungkapan bahasa Arab serta petikan ayat al-Qur'an dan Hadith menarik perhatian pendengar. Hal ini tidak menghairankan kerana beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Pengajian Islam UKM. Adalah diharapkan kehadiran beliau ini menjadi motivasi kepada para pelajar untuk menuntut ilmu agama setinggi mungkin kerana terbukti lulusan agama mampu menceburi apa saja bidang kerjaya.
Semoga segala acara yang dianjurkan oleh pihak MML mendatangkan manfaat kepada semua pihak khususnya para pelajar yang dikasihi.Selamat belajar.
Wassalam.

MAAHAD GEMILANG 1431H/2010

Assalamualaikum
Untuk kesekian kalinya kita bertemu lagi, kali ini di tahun 1431H/2010. Semoga ketibaan musim persekolahan yang baru ini membawa sinar yang semakin gemilang kepada MML.
Seiring dengan ketibaan tahun baru ini MML megalami perubahan besar khususnya pada tonggak pentadbiran. Pengetua sebelum ini Tn Hj Zainuddin bin Che Ismail bertukar ke Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan dan digantikan oleh Tn Hj Azhar bin Salleh, mantan Penolong Pengarah YIK. Penolong Kanan HEM Tn Hj Abd Aziz bin Abdullah berpindah ke Maahad Pengajian Islam dengan digantikan oleh Tn Hj Zulkipli bin Mat Yusuf yang sebelum ini merupakan Penolong Kanan HEM Maahad Pengajian Islam. Di samping pertukaran yang berlaku, MML menerima kedatangan tonggak baru Kokurikulum, iaitu Tn Hj Junaidi bin Abdullah sebagai Penolong Kanan Kokurikulum; jawatan baru yang diperkenalkan di MML dan MMP.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada bekas Pengetua dan Penolong Kanan HEM yang bertugas di tempat baru. Jasa kalian tetap dikenang oleh warga MML. Pidato semangat dan penuh berbisa mantan Pengetua sentiasa dirindui warga MML.
Kepada Pengetua dan kedua-dua Penolong Kanan yang baru, warga MML mengucapkan AHLAN WA SAHLAN ke bumi MML. Dengan gembelingan tenaga baru dan yang sedia ada, didoakan semoga MML berjaya dipacu terus ke mercu yang lebih gemilang.
Hingga bertemu lagi. Wassalam.